BANDAR BAHARU – Seorang tahanan etnik Rohingya yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Relau di sini didakwa membuat kecoh dan meminta makanan di sebuah pasar raya mini di Valdor, Pulau Pinang dekat sini sebelum ditahan orang ramai, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, lelaki etnik Rohinya berusia 37 itu ditemukan dalam keadaan keletihan dipercayai akibat kelaparan di belakang premis tersebut.
Menurut Muhammad Nuursyamsuddin Che Adni, 29, dia dihubungi seorang rakannya kira-kira pukul 5.30 petang memaklumkan terdapat seorang lelaki warga asing membuat kecoh di premis berkenaan.
“Kawan saya beritahu lelaki warga asing itu masuk ke dalam premis dan buat kecoh dengan meminta makanan dan minuman daripada pekerja di situ.
“Ketika saya sampai di situ, lima pekerja wanita yang berada di dalam premis itu sudah berada di luar premis kerana takut dengan kehadiran warga asing terbabit,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.(24/4).
Katanya, dia kemudian mencari warga asing terbabit lalu menemukannya di belakang premis dalam keadaan lemah.
“Selepas ditanya, lelaki itu memaklumkan dia merupakan tahanan etnik Rohinya yang lari dari depot imigresen beberapa hari lalu.
“Saya bersama dengan seorang rakan kemudian membawa tahanan itu menaiki kereta lalu menyerahkannya kepada pihak polis yang membuat sekatan jalan raya di Kampung Baong, Relau dekat sini,” jelasnya.
Sementara itu rakannya, Muhammad Assraf Firdaus Mohd. Yusuf, 30, mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang banyak membantu penduduk bagi menjaga keselamatan serta mengawal keadaan di situ.
Tambahnya, penduduk juga berharap depot tahanan itu dipindahkan ke kawasan lain yang jauh dari rumah penduduk demi keselamatan orang ramai.
Mingguan Malaysia hari ini melaporkan polis menahan lebih ramai tahanan etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di sini, sejak Rabu lalu selepas mereka mula keluar daripada tempat mereka bersembunyi untuk mencari makanan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G. Suresh Kumar berkata, kebanyakan tahanan terlibat yang kelaparan ditahan berdekatan taman perumahan dan kampung serta di tepi jalan selepas mendapat aduan daripada orang awam.
Menurutnya, polis percaya lebih ramai baki tahanan tersebut akan keluar mencari makanan selepas mereka diburu polis sejak empat hari lalu.
Sumber : utusan.com